Ahad, 22 November 2009

Daging Merah Boleh Sebabkan Barah Payu Dara

Pengambilan daging merah setiap hari walaupun dalam
jumlah kecil dapat meningkatkan risiko barah payu dara
sebanyak 56 peratus di kalangan wanita berusia, menurut
penyelidikan Britain yang diterbitkan semalam.
Kajian mendapati, pengambilan hanya 57 gram daging
kerbau, lembu atau babi sehari boleh menyebabkan risiko.
Wanita menopaus yang memakan daging diproses seperti
sosej dan daging babi salai dalam jumlah lebih besar iaitu
kira-kira 103 gram berisiko 64 peratus mendapat penyakit
itu.
Laporan Independent menyebut, wanita muda yang
masih belum menopaus turut meletakkan diri dalam risiko
menghidapi barah payu dara jika memakan daging setiap
hari, menurut kajian Universiti Sheffield.
Penyelidikan, yang diketuai profesor epidemiologi zat
dan kesihatan awam, Profesor Janet Cade, membabitkan
35,000 wanita berusia antara 35 dan 69 tahun yang dipantau
hampir lapan tahun.
Semuanya sudah melengkapkan soal selidik mengenai
217 bahan makanan dibahagi kepada tiga kumpulan
bergantung sama ada mereka memakan daging dalam
jumlah tinggi, sederhana atau rendah. Mereka
dibandingkan wanita dalam kajian itu yang memakan
sayur-sayuran.
Penyelidik turut mengambil kira tabiat merokok, berat
badan, pengambilan buah dan sayur, kelas, pendidikan
dan penggunaan terapi penggantian hormon.
“Hasil kajian kukuh. Apa saja ubah suai yang dibuat
pada data, kaitannya masih ada. Wanita yang makan
semua jenis daging, daging merah dan daging proses
dalam jumlah tinggi paling berisiko tinggi berbanding wanita
tidak memakan daging walaupun daging merah dan daging
diproses cuma menunjukkan kesan pada wanita
menopaus,” menurut Profesor Cade.
Katanya, penyelidik agak terkejut apabila mendapati
pengambilan cuma 57 gram daging merah sehari
menunjukkan kesan.
“Ia adalah hasil kerja kompleks dan diwujudkan khas
untuk membandingkan perbezaan bentuk diet,” katanya.
Sumber: Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan